loading...
SIKAP SALING HORMAT-MENGHORMATI
Saling hormat-menghormati adalah salah satu sifat mahmudah atau sifat terpuji dalam Islam. Sifat saling hormat-menghormati ini harus ada kepada seseorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Sikap hormat-menghormati ini adalah antara ciri-ciri menampilkan seseorang yang berakhlak mulia. Antara contoh-contoh sifat saling hormat-menghormati itu ialah memberi layanan mesra dan sopan, saling bekerjasama, saling menghargai antara satu sama lain dan menghargai budi serta jasa orang lain. Selain itu,dalam pergaulan seharian, kita juga dituntut untuk berakhlak mulia seperti baik dalam bertutur kata, perilaku bahkan ia menjadi syarat kesempurnaan Iman seorang mukmin. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling bagus akhlaknya. Dan orang-orang yang paling baik di antara kamu ialah mereka yang paling baik terhadap isterinya". (Riwayat at-Tirmidzi)
Akhir-akhir ini, sifat saling hormat-menghormati ini telah mula terhakis sedikit demi sedikit daripada amalan umat Islam. Apabila hormat-menghormati ini sudah tiada, ia bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada hubungan sesama manusia malah ia akan menyebabkan imej Islam itu akan dipandang negatif oleh pelbagai pihak.
Islam agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w. telah mengajarkan kepada kita beberapa perkara yang perlu diamalkan berkaitan dengan saling hormat-menghormati ini. Orang yang perlu kita hormati antaranya ialah :
Pertama : Menghormati kedua ibu bapa
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 23:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun) ".
Ayat ini menunjukan bahwa orang yang paling berhak mendapatkan rasa hormat dalam kehidupan setiap menusia itu adalah kepada kedua ibu bapa. Malah menjadi dosa besar kepada yang tidak menghormati kedua-duanya walaupun berkata "AH" sekalipun. Oleh itu, kita disuruh untuk sentiasa menghormati kedua-dua ibu bapa sebagai orang yang telah banyak berjasa dan membesarkan kita. Tanpa kedua-duanya, kita tidak akan mengecapi seperti mana yang kita ada sekarang ini.
Kedua : Menghormati sesama manusia
Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 18:
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah atau sombong) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri".
Sombong adalah sifat yang tercela. Dengan bersifat sombong sesama manusia akan menyebabkan seseorang itu menolak kebenaran dan menghina sesama manusia. Bukan itu sahaja, apabila sombong itu ada dalam diri manusia akan berlakulah kezaliman dan rasa angkuh. Oleh itu, Allah SWT melarang perbuatan mengabaikan sifat saling hormat-menghormati kerana kesan daripada tidak mengamalkan sifat ini akan membawa kesan yang buruk di dalam kehidupan sesama manusia.
Ketiga : Menghormati orang yang lebih tua
Hadis daripada Anas R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Tidaklah seorang muda menghormati pada orang tua kerana tuanya (usianya), melainkan Allah akan membalas penghormatan dengan menghormatinya pula kerana usiaya kelak." (Riwayat at-Tirmidzi)
Hadis tersebut menerangkan kepada kita bahawa kita disuruh menghormati akan orang yang lebih tua. Sebagai orang muda, mereka perlulah sentiasa mendengar nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh orang yang lebih tua kerana berdasarkan pengalaman terdahulu yang mereka telah lalui. Seterusnya seperti yang ditegaskan dalam hadis tersebut sekiranya seseorang itu ingin dihormati ketika waktu tuanya kelak, ia perlulah menghormati kepada orang-orang yang lebih tua daripadanya.
Keempat : Menghormati jiran tetangga
Kepentingan sifat saling hormat-menghormati kepada jiran tetangga itu adalah seperti mana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadisnya yang bermaksud:
"Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada tetangganya dan barang sipa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menghormati tetamunya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagai tanda berimannya seseorang itu adalah dengan saling hormat-menghormati sesama jiran tetangga sekelilingnya. Dengan saling hormat-menghormati ini, setiap masyarakat itu akan hidup dengan rukun damai dan harmoni. Masyarakat yang hidup harmoni akan mampu melaksanakan tanggungjawab bersama dalam membangunkan masyarakat seterusnya akan menggembirakan kehidupan bermasyarakat sesama mereka.
Kelima : Menghormati tetamu
Tetamu yang datang adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab ke atas tetamu selama berada di rumahnya serta wajib menafkahkan sebahagian rezekinya buat tetamu itu. Dengan menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya, ia menjadikan seseorang Muslim itu memiliki iman yang sempurna apatah lagi tetamu itu saudara seagama. Namun, tetamu bukan Islam turut mendapat layanan yang sama daripada tuan rumah beragama Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri". (Riwayat Muslim)
Menghormati dan memuliakan tetamu adalah Sunnah Rasul. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.
Allah SWT merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya dalam surah az-Zariat ayat 24-27 yang bermaksud:
"Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!", Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan".
Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.
Keenam : Menghormati Guru
Guru adalah orang yang mengajarkan kita dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan mendidik kita menjadi orang yang berguna pada masa akan datang. Walau bagaimana tingginya pangkat atau kedudukan seseorang itu mereka adalah bekas seorang pelajar yang tetap terhutang budi kepada gurunya yang pernah mendidiknya pada masa dahulu.
Oleh itu Islam mengajar kita supaya menghormati guru dan memuliakannya sebagaimana kita memuliakan ibu bapa kita.kerana merekalah menyampaikan ilmu kepada kita untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat. dan pengganti ibu bapa kita bila di sekolah.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu dari mereka." (Riwayat at-Thabrani)
Ketujuh : Menghormati Pemimpin
Pemimpin ialah individu yang mempunyai tahap kecekapan dan kelebihan dalam sesuatu bidang serta diamanahkan oleh pengikut-pengikutnya bagi mencapai sesuatu matlamat. Pemimpin juga merupakan orang yang paling dipercayai pengikutnya untuk menjalankan tugas dengan berdedikasi dan berupaya mempengaruhi orang lain untuk bersama-sama melakukan aktiviti-aktiviti yang ditetapkan.
Sebagai seorang Islam, kita perlu ketahui bahawa amatlah penting untuk menghormati pemimpin. Setiap pemimpin juga melakukan kesilapan kerana mereka juga adalah manusia seperti kita. Namun ada sebahagian manusia yang masih menganggap bahawa pemimpin tidak pernah melakukan kesilapan. Perkara ini adalah tidak tepat kerana pemimpin juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Anggapan ini harus diperbetulkan kerana pemimpin bukanlah tuhan yang memberi kita apa yang kita hendak. Terdapat salah faham dalam anggapan ini,namun kita bukanlah menanggap mereka tidak pernah melakukan kesilapan, tetapi kita harus beranggapan baik daripada tidak baik kepada pemimpin yang kita pilih.
Caranya ialah kita menegur kesilapan mereka dengan memberi nasihat kerana agama itu adalah nasihat. Nasihat yang kita berikan adalah untuk Allah, untuk al-Quran, untuk Rasul s.a.w, untuk pemimpin dan untuk manusia keseluruhannya. Nasihat ialah apabila kita inginkan kebaikan kepada pihak yang diingati. Ianya juga untuk pemimpin dikalangan umat Islam. Kita harus ingat, apa yang kita lakukan adalah untuk menyampaikan kebaikan. Teguran yang baik itu adalah nasihat dan menggunakan nada yang rendah suapa pemimpin yang kita tegur itu tidak terasa hati. KIta tegur pemimpin adalah supaya untuk menghalang dari mereka melakukan kesilapan.
Islam adalah agama yang mementingkan sifat saling hormat-menghormati. Islam tidak menyuruh kita agar hormat-menghormati kepada sesama muslim sahaja bahkan perlu saling hormat-menghormati kepada semua orang. Ini kerana bukan sahaja ganjaran besar yang akan dikurniakan oleh Allah s.w.t. malah kehidupan manusia itu akan lebih sempurna, saling bantu-membantu dan rukun damai sesama mereka. Akhirnya kehidupan seseorang muslim itu akan dilalui dengan penuh kebahagiaan di dunia dan mengecapi kebahagian di akhirat kelak.
"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu". (An-Nisa' : 86)
No comments:
Post a Comment